From KOSMO! ,3rd May 2009 : http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Alam_Damai&pg=al_01.htm
Seni bina Bali Bukit Segar
Kerana terlalu menggemari suasana pusat peranginan di Bali, Jason Lee dan Cheong Sze Hoong Zac memberi penyelesaian dengan mengimport konsep itu sepenuhnya ke Bukit Segar, Cheras.
KONSEP tropika moden dijelaskan oleh Jason Lee dan Cheong Sze Hoong Zac sebagai pengisian perabot berasaskan kayu, anyaman rotan, kaca dan sedikit aluminium dalam rekaan terkini.
Hasil kerja dua sahabat pereka perabot dan hiasan dalaman ini di banglo tiga tingkat di Bukit Segar, Cheras, Kuala Lumpur, dapat disimpulkan dalam satu perkataan - menakjubkan!
Menurut Jason, 31, pemilik kediaman mewah ini amat gemarkan konsep resort terbaik dunia yang terletak di Bali, Indonesia.
PEMANDANGAN senja yang memukau dari gazebo di laman depan rumah diperhebatkan lagi jika dinikmati si buaian buatan kain yang menambah unsur santai di laman ini.
Disebabkan itu, Jason dan Zac, 31, mencadangkan supaya kesemua perabot rumah agam ini diimport terus dari Bali.
"Kami diberi kebebasan untuk menghias rumah ini menggunakan bajet sebanyak RM1.5 juta. Namun kami dapat melakukannya dengan kos yang lebih rendah.
"Hasilnya jauh lebih hebat daripada yang dijangkakan," ujar Jason.
BAR mini ini juga boleh diletakkan di luar rumah, bukti kombinasi kreativiti teman sekelas, Jason dan Zac, yang jelas melahirkan kesempurnaan.
Bagaimanapun, kepuasan sebenarnya, tambah Jason, terletak pada kepercayaan tuan rumah yang membenarkan beliau mereka setiap perabot sebelum menyerahkan lakaran itu kepada pakar di Bali untuk direalisasikan.
"Bukan tidak ada tenaga kerja yang bagus di Malaysia, tetapi di Bali bilangan mereka lebih ramai.
"Kerja kraf kayu, terutama ukiran, sudah menjadi darah daging mereka. Apa yang kami cari ialah kualiti dan kami menemukannya di sana," kata Zac.
Daripada pintu gerbang, katil siang, cermin berukir sehinggalah kepada gazebo di laman, kualiti yang disebut begitu ketara dirasai.
Malah kedudukan kediaman di atas bukit dengan pemandangan Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam ini menjadikan tema Bali sangat tepat dan tidak canggung langsung biarpun terletak di tengah-tengah ibu kota.
Sebuah kolam ikan bertingkat dan berangkai ke bawah menambahkan damai di situ.
Berisi ikan tilapia dan koi, kolam itu menyuntik unsur spa terutama apabila dihiasi ukiran batu kapur dan gazebo binaan batang kelapa dan beratap jerami.
Dengan angin yang menghembus laju, pemilik tidak perlu lagi berulang-alik ke Bali semata-mata untuk menikmati suasana setenang itu.
Lebih istimewa, halaman yang menghijau turut dimeriahkan dengan pokok buah-buahan seperti mangga, durian, kedondong, jambu, cempedak dan bunga kemboja.
Jika di luar rumah landskapnya memukau, di dalam rumah tidak kurang hebatnya.
Ruang tamu bersiling tinggi atau dibina dengan konsep double volume kelihatan tidak ubah seperti lounge sebuah resort.
Lampu candelier dari rod besi tergantung di tengah siling. Sebuah motor dipasang bersamanya bagi memudahkan kerja penyelenggaraan.
Pemilihan lampu itu, kata Jason, demi mendapatkan kesan moden tropika yang dijanjikan.
Memiliki ruang udara yang luas, pendingin hawa tidak diperlukan di sini. Memadai dengan kipas angin.
Diapit dinding kayu berkaca, pemasangan langsir polos dari siling menguatkan lagi efek itu.
Dengan kelebihan menghadap pemandangan matahari terbenam, ia tidak berisiko disimbahi kehangatan cahaya matahari yang melampau pada waktu siang.
Keunggulan ruang makan vila ini pula terletak pada set meja makan yang diperbuat daripada kayu yang unik.
Binaan sepanjang lima meter daripada dua keping kayu setebal enam sentimeter itu memang luar biasa.
CADANGAN Zac untuk menamakan rumah agam ini sebagai Puri Kayangan bertepatan dengan huruf pertama nama tuan rumah.
Dilengkapi kerusi bersandar yang tidak seragam, ia dapat digambarkan sebagai karya agung yang sesuai untuk sebuah istana.
"Sama ada anda menyukai atau membencinya, ia adalah perabot yang dicipta sebagai subjek bualan. Ada yang mengatakan ia seperti set dalam filem Lord of the Ring," kata Zac tertawa.
Penghuni kediaman ini baru berpindah masuk pada September 2008.
PINTU gerbang berukir karya pengukir Bali ini menyimpulkan kemewahan rumah kediaman mewah ini.
Menurut Zac, reka bina rumah itu selaras dengan aktiviti keluarga pemilik yang gemar mengadakan perkumpulan untuk pelbagai acara.
"Dari atas bukit ini kita boleh tengok persembahan bunga api di KLCC dan Menara Kuala Lumpur khususnya pada Tahun Baru.
"Ini menjadikannya destinasi yang dicari-cari," tambah Zac yang tidak menolak konsep Bali di Bukit Segar merupakan satu kombinasi yang mengujakan.