Pulau Langkawi jadi destinasi pelancong Arab
Isnin, 11 Julai 2011 15:51 | Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR
ALOR SETAR: Pulau Langkawi adalah antara destinasi pilihan pelancong asing termasuk pelancong dari negara-negara Timur Tengah (Arab) dengan menampilkan produk-produk yang berasaskan flora dan faunanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, YB. S. Manikumar berkata, Pulau Langkawi mampu menjadi salah satu daya tarikan kepada pelancong dari luar negara terutama dari negara-negara Arab untuk mengunjungi pulau berkenaan.
Beliau memberitahu, Kerajaan Negeri Kedah bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) baru-baru ini menyertai ‘Arabian Travel Market’ (ATM) Dubai kali ke-18 dan ini adalah kali pertama penyertaan Kerajaan Negeri.
“Delegasi diketuai oleh saya sendiri sebagai Urusetia Pelancongan Negeri Kedah dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB. Dato’ Dr. Hamdan Mohamed Khalib selaku Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Kedah,” ujarnya.
Tambahnya, Muzium Negeri Kedah juga telah mempelajari cara produk di muzium di Dubai dipaparkan dan konsep seperti itu boleh diterapkan dalam penambahbaikan tatacara persembahan di muzium-muzium seluruh negeri Kedah.
Manikumar berkata, Malaysia yang menjadi rangkaian ‘favorite’ destinasi khususnya ketika bulan Ramadan menjadikan Pulau Permata Kedah (Langkawi) sebagai salah satu fokus khususnya pelancong-pelancong kategori ini (negara-negara Arab).
Oleh yang demikian, ujarnya, LADA bersama pihak swasta haruslah meneliti bagi bulan berkenaan (bulan Ramadan) agar boleh dijadikan destinasi paling diminati oleh pelancong-pelancong Timur Tengah untuk datang ke Pulau Langkawi.
“Ini termasuklah penyediaan bilik, makanan dan kemudahan sembahyang. Menerusi mengambil bahagian dalam ekspo-ekspo pameran sedunia seperti Arabian Travel Market, kita dapat memastikan Kedah dan Langkawi keseluruhannnya sebagai salah satu destinasi terulung dunia dengan menampilkan produk-produk yang kaya dengan flora dan faunanya,” jelasnya.