Pelaburan RM1b di Langkawi
Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm
LANGKAWI 8 Dis. - Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) akan melabur RM1 bilion bersama beberapa rakan kongsinya dalam tempoh empat tahun akan datang bagi tujuan pembangunan di Teluk Datai di sini.
Khazanah menerusi anak syarikatnya, Teluk Datai Resorts Sdn.Bhd. akan membuat pelaburan pembangunan 14 vila mewah berharga RM15 juta dan pembinaan sebuah hotel 300 bilik dengan kerjasama pengurusan hotel Shangri-La.
Selain itu, pelaburan itu turut membabitkan pembinaan sebuah hotel enam bintang dengan kerjasama sebuah kumpulan pengurasan hotel serta pembangunan semula padang golf yang mendapat sentuhan pemain golf profesional antarabangsa, Ernie Els.
Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar (gambar) berkata, pelaburan di Teluk Datai adalah komitmen berterusan bagi memacu pertumbuhan ekonomi domestik melalui pelancongan dan hiburan dari salah satu sektor utama Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
"Projek yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merupakan salah satu daripada projek menaik taraf Hotel Teluk Datai iaitu pembinaan 13 buah vila mewah satu bilik dan sebuah vila dua bilik yang dijangka siap pada suku pertama 2012," katanya.
Beliau berkata demikian sempena pelancaran pelan pembangunan Teluk Datai Resorts yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.
Khazanah pada Julai lalu menguasai 70 peratus kepentingan ekuiti di dalam Teluk Datai
Resorts, yang memiliki The Datai Langkawi Hotel, kelab golf 19 lubang, Teluk Datai dan 597.6 hektar tanah di Teluk Datai di sini.
Manakala ekuiti selebihnya dikuasai oleh Pengerusi Eksekutif Peremba (M) Sdn. Bhd. yang juga pengasas asal Teluk Datai Resorts, Tan Sri Razali Rahman dan Datuk Hassan Abas menerusi Archipelago Hotels (East) Sdn. Bhd.
Menurut Azman, komitmen Khazanah ke atas pelaburan itu bukan sahaja ingin melihat Pulau Langkawi menjadi sebuah destinasi pelancongan utama tetapi memelihara dan memulihara alam semula jadi yang ada di Teluk Datai.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pelaburan Khazanah, Mohd. Nadziruddin Mohd.Basri berkata, pelaburan ke atas projek itu akan dijana menerusi pembiayaan rakan kongsi serta pinjaman menerusi bank.
Projek itu juga dijangka menjana kira-kira 3,000 peluang pekerjaan.
Sejajar dengan pelancaran pelan induk pembangunan itu, Teluk Datai Resorts turut memulakan kajian semula jajaran bagi kelab golf bagi tujuan menaik taraf padang golf sedia ada.
Selain itu, tanah sedia ada akan dikaji bagi tujuan pembangunan dan penggunaan optimum bagi tujuan pembangunan di hadapan pantai.
Pada majlis yang sama juga, Khazanah turut menandatangani perjanjian dengan Shangri-La Hotel Malaysia bagi membangunkan resort bertaraf lima bintang dan perjanjian dengan Camco South East Asia untuk menjalankan kerja-kerja kajian pemulihan dan penjagaan alam sekitar ke atas baki tanah simpanan di Teluk Datai dan projek-projek yang akan dilaksanakan.