Pemandu RapidKL suka marah?
PEMANDU bas tidak sewajarnya bertindak memarahi penumpang, apatah lagi warga emas semasa menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai.
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR – Masih ramai yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan bas disediakan oleh Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (Rapid- KL) apabila rata-rata pengguna mendakwa mereka pernah diherdik serta dimarahi pemandu bas berkenaan walaupun hanya bertanyakan sesuatu.
Lebih menyakitkan hati, ada antara mereka pernah melihat pemandu bas tersebut memarahi golongan lebih tua kerana bertanyakan tentang destinasi yang ingin ditujuinya.
Bagi seorang pelajar kolej, Asyraf Ahmad, 18, berkata, kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi ke atas seorang tua berumur dalam lingkungan 50-an.
“Saya tidak faham kenapa pemandu ini nak marah kepada orang yang lebih tua kerana dia sepatutnya mengambil berat setiap penumpang dan memastikannya dapat menaiki bas dengan selamat.
“Bukannya dengan marah-marah apabila penumpang bertanyakan sesuatu,” katanya.
Asyraf menambah, pemandu bas terbabit perlu mengubah sikapnya dan perlu memberikan perkhidmatan terbaik supaya setiap penumpang yang mengguna- kan perkhidmatan bas RapidKL berpuas hati.
“Kadang-kadang kita faham, mereka terpaksa melayan pelbagai kerenah penumpang, tetapi jika nak marah setiap masa tidak mengenal tempat itu bukanlah satu perkara yang baik untuk imej syari- katnya,” jelas beliau.
Tinjauan Kosmo! di sekitar Pasar Seni dan Perhentian Bas Klang mendapati, keadaan sebaliknya pula berlaku apabila kebanyakan pemandu bas dilihat bersikap profesional semasa menjalankan tugas.
Sebelum ini, Kosmo! menerima aduan daripada penumpang RapidKL melalui ruangan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak berpuas hati dengan layanan seorang pemandu bas RapidKL di Pasar Seni kerana sesuka hati mengherdik dan memarahi penumpang.