RapidKL kerah 100 kakitangan tambahan
PETALING JAYA 30 Dis. - Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) akan mengerahkan kira-kira 100 kakitangan tambahan di stesen-stesen transit aliran ringan (LRT) yang sibuk bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai sempena sambutan tahun baru malam ini.
Pengurus Besar Komunikasinya, Ebi Azly Abdullah berkata, langkah itu merupakan amalan biasa RapidKL semasa sambutan sesuatu perayaan berikutan pertambahan mendadak jumlah penumpang.
Namun, katanya, sambutan tahun baru agak berbeza dan memerlukan jumlah kakitangan yang lebih ramai kerana penumpang akan menggunakan perkhidmatan LRT dalam masa yang hampir sama iaitu sebaik sahaja sambutan berakhir.
"Justeru, kita menggalakkan pengguna LRT supaya membeli tiket pergi balik kerana ia akan memudahkan mereka.
"Kita menjangkakan kumpulan besar penumpang akan tiba di stesen selepas pukul 12 tengah dan mereka akan menghadapi kesukaran untuk membeli tiket pada masa itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, RapidKL juga sudah memasang papan tanda arah yang baru di stesen Masjid Jamek dan KLCC bagi memudahkan orang ramai menuju ke platform yang betul.
Katanya, kakitangan tambahan itu juga akan ditempatkan di kedua-dua stesen itu bagi kemudahan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai tren.
Ebi Azly berkata, perkhidmatan LRT Aliran Kelana Jaya di stesen Masjid Jamek, KLCC, Pasar Seni, KL Sentral dan Kelana Jaya akan dilanjutkan sehingga pukul 2.30 pagi pada malam esok.
LRT Aliran Ampang untuk stesen Bandaraya, Masjid Jamek dan Hang Tuah, katanya, juga dilanjutkan sehingga waktu yang sama.
Dalam pada itu, waktu perkhidmatan bas di stesen-stesen LRT juga akan dilanjutkan bagi memastikan penumpang sampai ke destinasi masing-masing.
"Kita menjangka kira-kira 400,000 penumpang akan menggunakan kedua-duda perkhidmatan LRT pada malam esok.
"Walaupun kita sudah bersedia untuk menghadapi jumlah penumpang yang ramai itu, kerjasama daripada pengguna untuk menggunakan LRT dengan teratur sangat diperlukan.
"Bertolak-tolak hanya akan melambatkan pergerakan mereka. RapidKL menjanjikan semua penumpang akan tiba ke destinasi mereka," kata Ebi Azly.
Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi talian bantuan RapidKL di 03-76256999 (Isnin hingga Jumaat dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang) atau layari
www.rapidkl.com.my.