KOTA
Kembalikan khidmat bas
Oleh roslah othman
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Jun - Hendak ke mana-mana pun senang. Menunggu pun kira-kira 10 minit sahaja.
Itulah gambaran terhadap perkhidmatan bas awam di Jalan Peel di sini apabila Rangkaian Pengangkutan Intergrasi Deras Sdn. Bhd (RapidKL) memulakan operasi di laluan Taman Maluri Cheras-Jalan Peel-Kota Raya kira-kira dua tahun lalu.
Hari ini, situasinya berbeza sama sekali. Jika mahu ke bandar raya, mereka terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira setengah kilometer untuk ke perhentian bas terdekat.
Walaupun kelihatan dekat tetapi ia mendedahkan mereka dengan pelbagai risiko termasuk kemalangan jalan raya berikutan Jalan Cheras yang sentiasa sibuk.
"Kalau boleh kembalikan semula perkhidmatan bas 111 yang sebelum ini pernah melalui Jalan Peel,'' begitu kata Mohd. Noor Mohammed, 69, ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mohd. Noor adalah antara warga emas yang tinggal di Blok D, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, Jalan Peel di sini yang terpaksa berhadapan dengan kesulitan gara-gara perkhidmatan bas RapidKL yang disediakan sebelum ini telah ditamatkan secara tiba-tiba sejak dua tahun lalu.
Tindakan tanpa notis itu benar-benar menyusahkan penduduk di situ kerana selama ini hampir 90 peratus penduduk di kawasan berkenaan bergantung kepada pengangkutan awam tersebut.
Penduduk mendakwa sudah beberapa kali memohon perkhidmatan bas dikembalikan di laluan berkenaan, namun sehingga kini belum ada sebarang perkembangan mengenainya.
Ketiadaan perkhidmatan bas di kawasan perumahan yang mempunyai kapasiti penduduk kira-kira 3,000 orang penduduk itu benar-benar menyulitkan.
Utusan Malaysia difahamkan, pada awal perkhidmatan bas di laluan tersebut dimulakan, kekerapannya adalah setiap 10 minit.
Bagaimanapun, pada saat-saat akhir perkhidmatannya dan kemungkinan bertujuan untuk menamatkan perkhidmatan di laluan itu, penduduk mendakwa jadual perjalanannya semakin tidak teratur termasuk pernah sehingga sejam sekali.
Difahamkan, semenjak perkhidmatan bas bernombor 111 di laluan tersebut ditamatkan, penduduk terpaksa mengggunakan bas lain iaitu dari laluan Taman Maluri, Cheras-Jalan Chocrane atau Taman Maluri melalui jalan besar berhadapan Pejabat Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dakwa penduduk, selain terdedah risiko kemalangan, keadaan cuaca yang tidak menentu terutama hujan menimbulkan kesulitan terutama ketika mereka pergi atau pulang dari tempat kerja dan warga tua.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan berkenaan mendapati perkhidmatan bas amat diperlukan di laluan berkenaan kerana pengguna bukan sahaja kalangan penduduk tetapi juga pelajar-pelajar dari tiga buah sekolah berhampiran iaitu Sekolah Menengah Convent, Sekolah Pendidikan Khas, dan Sekolah Kebangsaan Yaacob Latif, masing-masing terletak di Jalan Peel.
Kata penduduk, perkhidmatan tersebut dihentikan dengan alasan tidak mendatangkan keuntungan kepada syarikat kerana kekurangan pelanggan di laluan berkenaan.
Bagaimanapun, alasan tersebut tidak dapat diterima para penduduk yang rata-rata berpendapat siasatan tidak dijalankan secara menyeluruh dan langsung tidak mengambil kira pandangan penduduk di kawasan itu.
Lebih menimbulkan tanda tanya ialah mengapa sebuah pondok menunggu bas yang baru dibina di laluan berkenaan sejak empat bulan lalu sedangkan perkhidmatan bas tiada.
Harapan penduduk ialah agar RapidKL dapat mengembalikan semula perkhidmatan bas di laluan tersebut demi keselesaan dan kemudahan pengguna.
Sebagai sebuah syarikat pengangkutan bas yang dipertanggungjawabkan menyediakan sistem pengangkutan bersepadu di Lembah Klang, seharusnya RapidKL perlu lebih peka dengan kehendak pengguna.
Usaha RapidKL menyusun semula laluan bas sedikit masa dahulu antara satu langkah yang baik bagi menyediakan rangkaian perkhidmatan lebih cekap, namun pada masa sama kesan baik buruk kepada pengguna perlu difikirkan.
Difahamkan, langkah penyusunan semula laluan bas yang dilakukan termasuklah di laluan Taman Maluri-Jalan Peel-Kota Raya itu banyak membawa masalah kepada pengguna daripada memberi kebaikan.
Dalam hal ini, sikap mementingkan keuntungan semata-mata terutama syarikat-syarikat besar tidak harus ada kerana tanggungjawab sosial kepada masyarakat perlu juga diutamakan.
Walaupun kadar penggunaan pengangkutan awam di ibu negara terlalu rendah, malah yang paling rendah di Asia, tetapi itu bukan alasan untuk tidak menyediakan perkhidmatan bas yang menyeluruh.
Masih ramai yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas, sistem transit aliran ringan (LRT), monorel mahupun komuter.
Meskipun ada pilihan untuk menaiki teksi, namun kadar tambang yang jauh lebih tinggi antara faktor utama mengapa bas masih menjadi pilihan pengguna.