Terajui TV digital
18 September 2009 Oleh AZMAN IBRAHIM
Ricky Wong (kanan) dan Mohd Najib Abdul Aziz menunjukkan contoh
tv transit yang dipasang di dalam bas di Petaling Jaya, semalam.
PETALING JAYA 17 Sept. - Penyedia rangkaian televisyen (tv) transit terbesar di Malaysia, Asia Media Sdn. Bhd. (Asia Media) bakal mencipta sejarah sebagai syarikat pertama menggunakan sistem penyiaran video digital (DVB) di negara ini.
Di bawah sistem baru itu, tv transit berkenaan dinamakan saluran Asia Media TV.
Langkah itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk beralih kepada sistem penyiaran digital sepenuhnya menjelang 2015 berbanding sistem analog.
Asia Media menyasarkan pelaksanaan DVB akan dimulakan pada pertengahan tahun depan di sekitar Lembah Klang dan bakal menyiarkan sebahagian besar program tempatan termasuk program secara langsung (live) di dalam bas.
Sistem DVB turut akan memasuki pasaran Johor Bahru dan Pulau Pinang pada tahun 2011.
Ketua Pegawai Eksekutif Asia Media, Datuk Ricky Wong berkata, Asia Media telah melabur sebanyak RM12 juta untuk melengkapkan infrastruktur untuk saluran Asia Media TV.
Beliau berkata, pelaburan tersebut diperoleh melalui inisiatif kewangan peribadi dan syarikat turut merancang meningkatkan nilai pelaburan sebanyak RM50 juta lagi dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Katanya, sebuah menara pemancar (transmission tower) juga sedang dibina di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
"Pelaburan tambahan itu adalah untuk menaiktaraf sistem rangkaian transit tv sedia ada kepada sistem transit tv digital secara langsung yang lebih jelas bunyi serta mutu gambar berkualiti tinggi.
''Dana untuk pelaburan tambahan itu akan diperoleh melalui dana dalaman, pelabur-pelabur swasta, ekuiti dan pinjaman,'' katanya selepas mengumumkan sistem penyiaran digital secara langsung Asia Media di sini hari ini.
Hadir pada majlis Pengerusi Asia Media, Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz.
Asia Media kini mempunyai 3,000 skrin di dalam 1,450 bas dan meraih tontonan sebanyak 3.5 juta orang.
Selepas peningkatan taraf itu, Asia Media TV dapat menyediakan program secara langsung seperti berita, pengumuman-pengumuman termasuk mengenai dasar kerajaan, tv interaktif, sukan dan ramalan cuaca.
Menurut Wong, pihaknya juga merancang untuk memuatkan tayangan filem blockbuster dari Hollywood ataupun Bollywood.
Ketika ditanya tentang peratusan kandungan program setelah melaksanakan sistem DVB, Wong berkata, 80 peratus kandungan akan diisi dengan dokumentari dan drama manakala 20 peratus lagi merupakan iklan.
Katanya, pihaknya masih belum bersedia untuk menawarkan program secara langsung buat permulaan berikutan masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak tertentu seperti agensi berita dan sebagainya.
Berkaitan perolehan syarikat pula, Wong menambah, 70 peratus perolehan disumbang oleh pengiklanan manakala 30 peratus lagi daripada program-program lain.
Katanya, daripada sumber pengiklanan itu, 70 peratus diperoleh melalui sektor swasta manakala 30 peratus lagi melalui kerajaan.
''Kami menyasarkan satu lompatan besar dalam perolehan syarikat pada tahun depan setelah pelancaran sistem DVB tersebut berikutan sambutan yang amat baik dalam segmen pengiklanan,'' ujarnya.
Ditanya mengenai perancangan perkembangan perniagaan, Wong berkata, Asia Media dijangka membuka medium pasaran baru iaitu melalui kereta api, transit aliran ringan (LRT), teksi dan feri di negara ini.
Jelasnya, tidak ada pertambahan transit tv dalam bas buat waktu sekarang, sebaliknya, ia akan dilaksanakan dalam kenderaan pengangkutan awam yang lain.
''Kami juga mahu pelaksanaan transit tv yang menggunakan sistem DVB ini dilaksanakan di kawasan pasaran berpusat (market centric),'' ujarnya.
Mengenai perancangan lain, Asia Media dijangka membawa teknologi dan model pengurusan perniagaan berkaitan aplikasi sistem DVB di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan Indonesia pada tahun depan.
Katanya, kedua-dua negara itu berminat untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan mengenai pelaksanaan sistem berkenaan.
''Kita diberi penghormatan untuk berkongsi pengetahuan tersebut walaupun kita masih baru dalam melaksanakan sistem DVB,'' tambahnya.
Wong turut menjangkakan pertumbuhan ekonomi kekal stabil sepanjang tahun ini berikutan syarikat banyak memperuntukkan wang dalam infrastruktur bagi menjayakan sistem DVB.
Menurut beliau, tahun depan disasar memberi pengukuhan ekonomi kepada syarikat dan dijangka menokok sebanyak 20 peratus kepada perolehan.