Puduraya berubah wajah
Oleh Rohaniza Idris dan Siti Nur Almizan Aripin
ORANG ramai berasa selesa dengan keadaan baru di Puduraya.
Pengunjung gembira perubahan terminal lebih selesa, selamat
KUALA LUMPUR: Selesa dan selamat. Itu antara ungkapan diluahkan pengguna Hentian Puduraya, termasuk pengunjung tempatan dan pelancong asing, malah rata-rata mengakui gembira dengan usaha kerajaan membaik pulih terminal bas berusia 33 tahun itu.
Tinjauan Berita Minggu di Puduraya mendapati, selain kawalan keselamatan dan udara dingin yang menyelubungi ruang menunggu di aras bawah hentian itu, kerja penyelenggaraan lain termasuk proses ubah suai ruang pejabat pihak pengurusan Puduraya, Uda Holdings Berhad juga kini rancak dilakukan.
Ia susulan lawatan mengejut Datuk Seri Najib Razak ke Puduraya, April lalu, yang turut menyuarakan rasa kurang senang dengan kesesakan dan ketidakcekapan kemudahan awam di kawasan berkenaan.
Perdana Menteri turut memandang berat mengenai kurangnya kemudahan serta kesesakan di tempat tertentu dan mahukan penambahbaikan dilakukan segera. Najib turut mengarahkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan kementerian lain yang berkaitan untuk menentukan kemudahan berkenaan, dipertingkatkan.
Keprihatinan Najib itu turut dikongsi kebanyakan pengunjung yang mahukan hentian penuh nostalgia itu tidak diabaikan dan ditukar dengan perubahan yang mengubah nilai estetika bangunan yang menjadi mercu tanda kemodenan Kuala Lumpur pada 1970-an.
Pengguna terminal itu, Wan Rubi Wan Nordin, 24, dari Kuantan, Pahang, mengakui terkejut melihat perubahan Hentian Puduraya berbanding keadaan asalnya sebelum ini.
Katanya, perubahan yang dilakukan membuatkan beliau berasa yakin untuk berada di hentian itu walaupun masih wujud perasaan curiga dengan kehadiran individu tidak dikenali di sekelilingnya.
"Kemudahan awam juga lebih baik terutama siar kaki berbumbung serta lampu yang sentiasa terpasang di ruang menunggu dan di bawah hentian, membuatkan keadaan sekeliling lebih ceria, selamat dan selesa," katanya.
Rosilawani Shaari, 25, dari Kuala Terengganu juga gembira jika lebih banyak perubahan terutama membabitkan kemudahan awam dilakukan di Hentian Puduraya.
"Walaupun pertama kali sampai ke sini, tapi saya rasakan persekitarannya agak selesa cuma kesesakan jalan raya di hadapan hentian perlu ditangani dengan segera bagi mengelakkan pemandangan kelihatan tambah sesak," katanya yang mahu rupa fizikal asal hentian Puduraya dikekalkan.
Peniaga kedai makan, Zaiton Jaafar mengakui seronok melihat perubahan yang dilakukan di Hentian Puduraya selepas lima tahun menjalankan perniagaan di lot kedai makan di situ.
"Perubahan yang sudah dilakukan banyak memberikan kebaikan kepada rakyat bagaimanapun saya merayu kepada pihak pengurusan supaya menilai semula rancangan memindahkan lot kedai makan sedia ada ke tingkat empat," katanya.
Zaiton turut kesal dengan tindakan segelintir pemilik asal lot kedai di situ yang menyewakan premis milik mereka kepada warga asing yang disifatkannya mencemarkan pemandangan Hentian Puduraya.
"Sikap warga asing yang agresif terutama bagi melariskan jualan merosakkan imej penduduk tempatan dan adalah lebih baik jika pihak pengurusan membuat penilaian semula bagi menentukan hanya peniaga yang benar-benar layak saja diberikan peluang berniaga," katanya.
Pelancong asing, Kim Frise, 35 dari Norway berkata, beliau terkejut melihat perubahan di Puduraya selepas dua tahun meninggalkan Malaysia.
Berkunjung ke Kuala Lumpur untuk bercuti, katanya beliau kerap menggunakan Hentian Puduraya ketika bertugas di negara ini dan berharap perubahan yang lebih besar terutama membabitkan aliran masuk dan keluar bas di hentian terbesar di ibu kota itu.
"Sebagai terminal pengangkutan awam utama, sepatutnya sudah lama bangunan ini ditukar kepada reka bentuk moden yang mengekalkan ciri asal sesuai dengan tarafnya sebagai hentian utama pengangkutan awam di Kuala Lumpur.
Rizal Fahril Amrin, 28, dari Riau, Indonesia turut berbangga melihat keprihatinan kerajaan menyelenggara Hentian Puduraya.
"Saya pernah menggunakan Puduraya pada 2004 dan tahun ini saya kembali bersama keluarga melawat Kuala Lumpur. Ternyata keluarga saya selesa dan keadaannya aman", katanya.
Ubah suai bangunan babit kos RM31j
HENTIAN Puduraya mula beroperasi pada 1976 dan dirasmikan Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn, menjadi nadi utama pengangkutan ibu kota hingga ke hari ini.
Terletak lokasi strategik di tengah-tengah pusat ibu kota, hentian utama pengangkutan awam itu sudah 33 tahun memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang menggunakan bas dan teksi.
Bagaimanapun, bangunan yang berdiri megah itu kini tidak lagi dapat menampung jumlah bas dan penumpang yang bertambah pesat, lebih-lebih lagi dengan adanya perkembangan dan pembangunan pesat kawasan sekitarnya.
Dipercayai lebih 50,000 orang menggunakan Puduraya setiap hari termasuk penumpang LRT yang turun naik di stesen Plaza Rakyat bersebelahan.
Setiap hari Hentian Puduraya mengendalikan kira-kira 1,000 perjalanan bas ke Utara dan Selatan, manakala perjalanan bas pada hari minggu tidak termasuk cuti sekolah meningkat kepada 1,400 sehingga menyebabkan hentian berkenaan sesak.
Menyedari hakikat itu, Puduraya diubah suai walaupun ramai yang mendakwa pengubahsuaian dilakukan UDA Holdings Berhad (UDA) yang membelanjakan RM11 juta untuk membaiki kemudahan di hentian berkenaan selain kerja mengecat seluruh bangunan hanya sekadar memakaikan 'mekap' saja bangunan berkenaan.
Malah, kerja membaik pulih itu masih tidak mampu menyelesaikan kesesakan pada jantung Kuala Lumpur dan ketidakcekapan perkhidmatan terus membelenggu pengguna.
Khamis lalu, UDA Holdings Berhad (UDA), pengendali Hentian Puduraya mengumumkan bakal mengubah suai bangunan berkenaan menjadikannya hampir menyamai kemudahan di lapangan terbang membabitkan kos bernilai RM31 juta.
Pengarah Urusannya, Datuk Jaafar Abu Hassan, berkata penambahbaikan Hentian Puduraya itu dilakukan susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 25 April lalu, yang mengenal pasti masalah membabitkan keselesaan pengguna selain kesesakan di terminal.
Projek penambahbaikan Hentian Puduraya itu dibahagikan kepada tiga fasa yang dijangka bermula bulan ini dan siap sepenuhnya hujung tahun depan.
Uda Holdings sudah menyalurkan RM5.3 juta bagi kos fasa pertama, manakala kerajaan akan menyuntik RM25 juta. Fasa pertama dijangka siap September depan termasuk membabitkan kerja mengecat keseluruhan bangunan dan menaik taraf sistem antikebakaran, kawasan pejalan kaki dan pendingin udara di kawasan menunggu.
Fasa kedua pula, meliputi kerja menaik taraf sistem lif, pembinaan kaunter tiket yang baru di tingkat pertama dan medan selera di atas bangunan serta menggantikan kipas ekzos di tingkat bawah tanah. Keseluruhan kerja menaik taraf itu dijangka selesai menjelang akhir 2010.
Selain mengubah rupa bentuk fizikal hentian berkenaan, UDA juga bercadang membangunkan
sistem E-Ticketing yang akan beroperasi di luar bangunan Hentian Puduraya.
Berfungsi seolah-olah mesin juruwang elektronik (ATM), hanya beberapa kaunter dibuka dan orang ramai boleh mendapatkan tiket bas untuk semua syarikat pengangkutan bas.
Bermakna melalui perkhidmatan itu, orang ramai hanya memilih syarikat bas, tarikh dan jadual perjalanan serta urusan jualan tiket berjalan seperti biasa di luar hentian.
Idea yang masih pada peringkat cadangan itu dilihat usaha munasabah bagi mengatasi masalah kesesakan di perhentian itu. Malah E-Ticketing dilihat dapat mengatasi masalah ulat tiket.