http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Ekonomi/20060723232307/Article/
BKP sudah jual 160 Verve Suites
Oleh Hizral Tazzif Hisham
BUKIT Kiara Properties Sdn Bhd (BKP), mencatatkan jualan sebanyak 70 peratus daripada 240 unit kediaman Verve Suites, di Mont Kiara bernilai RM73 juta dalam tempoh empat bulan selepas pelancaran jualan blok pertama projek berkenaan.
Pengarah Urusan Kumpulan BKP, N K Tong, berkata kejayaan menjual 160 unit kediaman suite itu hasil keyakinan pembeli terhadap dua projek BKP sebelum ini iaitu Aman Kiara dan Hijauan Kiara.

KEDIAMAN MEWAH:
Tong menunjukkan model
Verve Suites selepas
pelancaran di Petaling
Jaya, baru-baru ini.
Katanya, sebahagian besar pembeli awal Verves Suite adalah rakyat tempatan yang tertarik dengan konsep yang ditampilkan BKP.
“Antara lima hingga 10 peratus lagi adalah pembeli daripada kalangan rakyat luar negara,” katanya selepas pelancaran Verve Suite di Mont Kiara, Petaling Jaya, minggu lalu.
Unit kediaman di Verve Suite menawarkan keluasan antara 633 kaki persegi hingga 1,213 kaki persegi dan dilengkapi dengan perabot dan beberapa peralatan elektrik. Ia dijual pada harga RM300,000 hingga RM700,000 seunit.
Blok pertama Verve Suite dijangka siap pada September 2009, manakala blok kedua dijadual mula dibina penghujung tahun ini.
Pelancaran blok ketiga dan keempat hanya dibuat berdasarkan sambutan pembeli terhadap dua blok pertama. Apabila siap sepenuhnya, Verve Suite akan mempunyai unit keseluruhan sebanyak 881 unit.
Ia termasuk satu unit khas untuk pelbagai kegunaan penghuni di situ dikenali Vertigo Lounge yang terletak di tingkat 35 dan berkeluasan 6,000 kaki persegi.
Pada masa sama Verve Shop dengan keluasan 45,000 kaki persegi dengan ketinggian empat tingkat setengah khusus bagi kemudahan untuk pemilik kediaman Verve Suite.
Kedudukan Verve Suite amat strategik kerana berdekatan laluan Kerinchi dan Penchala ke Lebuh raya Sprint, Jalan Duta, Jalan Damansara dan Jalan Segambut Dalam.
Tong berkata, Verve Suite akan memiliki empat blok dengan empat tema utama iaitu Viva, Vibe, Vogue dan Vox dengan anggaran jualan bagi keseluruhan projek, termasuk Verve Shops adalah sebanyak RM420 juta.
FAKTA NOMBOR
Verve Suites
RM420j - Anggaran jualan keseluruhan
881 - Jumlah keseluruhan unit